"Saya memang tak leh hidup tanpa dia, bang. Hilang dia, tak bermakna lagi hidup saya ni bang!" sambil berair mata menerangkan keadaannya.
Sekali fikir, sememangnya kita tidak mampu hidup tanpa kasih sayang manusia. Siapalah kita untuk menafikannya. Kecewa, marah, berdendam dan seumpama dengannya muncul dengan tiba-tiba. Bukan diundang, tapi hadir atas bisikan syaitan. Sejak muncul, tidak pernah dia berhenti untuk menyesatkan anak Nabi Adam. Itu adalah janjinya. Salah pilih musuh? Kita sebenar dan sepatutnya berperang dengan diri sendiri. Bukan dengan pihak lain, tanpa ada kaitan walau sedikitpun.
BERUBAH KERANA TUHAN
"jangan terkejut kalau satu hari saya kembali ke perangai lama saya, kalau saya hilang dia,"
Allah berpesan yang bermaksud, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan dia mengubahnya terlebih dahulu.
Itulah janji Tuhan. Namun kita terlupa seketika bahawa Dia sentiasa melihat kita. Mengapa kita perlu berubah demi manusia? Sedangkan Dia sentiasa ada bersama kita. Kerana itulah kita perlu niatkan segala apa yang kita lakukan adalah kerana Dia Yang Maha Esa. Barulah perubahan itu akan kekal abadi.
Contoh berubah bukan kerana Tuhan, di depan orang tua penuh dengan adab sopan, tapi di belakang mereka, perangai tak ubah macam syaitan. Sepatutnya, bukan kerana orang tua, tapi kerana Tuhan. Dia sentiasa melihat kita walaupun waktu ketiadaan orang tua. Itulah yang patut ditanamkan dalam hati.
PERMULAAN YANG BAIK
"Redha Allah itu pada redha kedua ibu bapa,"
Mengecapi keredhaan Tuhan itu bukan hanya pada perkataan. Keredhaan yang hakiki hanya dapat dirasa apabila kita mengikuti segala apa yang telah disyariatkannya. Langkah pertama, adakah mendapat perkenan kedua ibu bapa kita? Perkenan ini bukan setakat mengizinkan tapi dengan sebenar-benarnya, penuh kepercayaan tanpa ada syak wasangka. Walaupun setitik cuma syak wasangka itu timbul, maka keredhaan itu sukar untuk diperolehi. Mudahnya, kita tidak tenang dengan apa yang kita lakukan. Biarpun nampak bahagia, tapi dalam fikiran penuh dengan persoalan. Rasa terancam. Perkara yang positif akan menjadi negatif dan begitulah sebaliknya. Gembira dengan maksiat yang dilakukan. Tidak pernah rasa bersalah dengan kemungkaran yang berlaku, bahkan bangga dengan apa yang terjadi. Semakin hari, semakin alpa dan lalai dibuai nafsu durjana. Nasihat dan panduan, diberikan tapi dibenci. Pelbagai lagi tanda-tanda yang boleh diperhatikan, untuk menilai sendiri samada kita benar-benar mendapat keredhaan Nya, atau tidak.
Ingin menggapai keredhaan inilah, satu permulaan yang baik.
KEKALKAN PERMULAAN ITU
"Istiqomah dengan apa yang telah diperintahkan,"
Apabila telah berlakunya satu permulaan yang baik, kita diajar untuk mengekalkan kebaikan permulaan itu. Jangan dibiarkan ia punah di tengah-tengah. Misalnya, mengambil kesempatan atas kepercayaan yang telah diberikan. Kali pertama, mungkin kita tersalamat. Namun terselamat kali pertama, tidak semestinya kita akan selamat untuk kali ke dua. Begitulah juga untuk seterusnya. Terselamat itu, merupakan peluang yang diberikan oleh Tuhan. Peluang untuk kita kembali merubah keadaan yang tidak baik kepada lebih baik. Inilah manusia, sering terikat dengan kata-kata manusia tidak lari dari kesilapan. Namun kita juga perlu mengelak dari melakukannya. Bukan membiarkan ia berlaku tanpa diundang.
PANDANGLAH, LIHATLAH
Redha dan berlapang dengan apa yang berlaku. Setelah apa yang telah kita usahakan. Jika itu kehendak Dia, maka terimalah ia sebagai satu hadiah dari Yang Maha Esa. Tidak perlu menyalahkan, tidak guna juga untuk mempertikaikan. Jalan itu yang telah kita pilih, maka terimalah ia sebagai ketentuan Tuhan.
Tanda cinta kepada Nya, adalah untuk beriman, berikrar dengan lidah dan membenarkan dengan hati, apa yang disampai dan dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar-benar belaka serta beramal dengan anggota badan.
Sementara kita diberi peluang untuk memilih, pilihlah dengan penuh keimanan. Jalan yang mana perlu dilalui. Jangan sampai nanti di sana, tiada pilihan lagi untuk kita, meronta dan merintih untuk kembali semula, membetulkan kesilapan. Segalanya sudah terlambat...
Friday, April 29, 2011
Pulihkan Semangat Itu...
Thursday, April 28, 2011
Hitam itu Putih
Kelmarin kita mencari siapa kita. Semalam kita melihat siapa yang bersama kita. Hari ini, kita hilang, lupa diri apa yang telah kita lalui. Tiada lagi ungkapan sedar diri dalam diri kita. Adakah itu kita?
GELONG TAPI NAK LURUS
"Dia tu tak de pendirian lah. Macam lalang!" marahnya dia.
Setuju atau tidak, itulah tanggapan orang. Mereka adalah cermin kepada diri kita. Sepatutnya kita bersyukur kerana Tuhan yang telah menggerakkan hati mereka untuk menyatakan hakikat siapa diri kita. Namun kerana ego yang tinggi, menyebabkan kita menolak dan menafikan apa yang telah tersurat.
"kalau buat ke tak, ada nyusahkan orang?" dengan megah menjawab.
Bukan mudah untuk kita mengekalkan keindahan adab dan sopan kita. Sekelip mata kita mengubahnya, hanya kerana kita lupa siapa diri kita. Bila berlaku perkara yang tidak diingini, barulah kita terfikir akan kebenaran pandangan orang lain. Tika nasi sudah menjadi bubur, tiada apa lagi yang boleh diubah. Dosa tetap dosa. Haram tetap haram. Dosa takkan bertukar menjadi pahala. Haram takkan bertukar menjadi halal.
BERPANDU TAPI NAK BERCANDU
"Biarlah dia, nak jadi apa pun," keluh seorang ibu.
Kebodohan kita menjadikan kita buta pada panduan yang telah Tuhan sediakan. Jika Al Quran dan Sunnah sukar untuk difahami, kita diberikan mereka yang boleh dijadikan rujukan, rapat dengan kita. Pelbagai cara telah diusahakan untuk memberikan yang terbaik untuk kita. Tapi kita tetap buta!.
Jalan yang kita pilih adalah jalan yang menghala ke arah kebinasaan. Biarpun kita tahu itu bukanlah pilihan yang tepat. Hanya kerana keegoaan kita, kita menafikan hakikat yang sebenar. Jangan ditegakkan benang yang basah. Tidak akan lurus biarpun dipegang sepuluh jari.
DAH ADA TAPI TAK NAMPAK
"Ingat saya ni apa, disuruh buat itu, disuruh buat ini, macam kuli batak!" Bantah seorang pekerja.
Banyak sangat ke kerja nya?
Tak sempat nak makan ke?
Kena keluarkan budget sendiri ke?
Berat sangat ke tugasnya?
Menjadi sifat manusia, tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Semakin hari, kita semakin tamak untuk mengejar hasil dunia. Tidak ada lagi kaya wang kaya iman. Hanya kaya wang lemah iman. Nafsu amarah menjadikan kita buta hati. Sedangkan Islam menjadikan semua perkara itu ibadah. Jika itu yang dibangkitkan, tiada lagi ibadah dalam pekerjaan.
Tukarlah ia! Mudah sahaja, segala perkara baik yang dilakukan diniatkan kerana Allah, maka ibadah lah jadinya. Ganjarannya, bukan sahaja di dunia, akhirat lebih lagi.
BERILMU TAPI DUNGU
"Smart gak nih, dia takde, line clear nih," jelas seorang teman.
Jadilah manusia yang sesuai dengan darjatnya. Jika kita mempunyai ilmu, biarlah bertindak seperti mereka yang mengamalkan ilmu. Ilmu itu bukan dibuku, tapi ilmu itu pada perilaku. Orang yang berilmu tidak akan melakukan perkara yang merendahkan maruah dirinya. Tiada guna menghabiskan masa bertahun-tahun menuntut ilmu, jika hasilnya hanya di lorong-lorong gelap. Berjam-jam di kelab. Berhimpun beramai-ramai di 'pub'. Tidak ketinggalan juga mereka yang bersubahat. Biarpun tidak melakukannya, namun mereka yang melihat tanpa ada sedikit pun rasa benci, maka dia bersubahat. Merelakan segalanya.
KISAH AL KASIH
Muhasabah cinta itu. Adakah untuk Dia? atau hanya untuk dunia? Segalanya mesti ditanya, bukan untuk sesiapa, tapi untuk hati yang alpa.
Relakan diri menerima kenyataan. Tidak perlu menjadi lalang. Mengikut angin bertiup. Jadilah seperti padi, semakin tunduk pabila berisi.
Buka mata lihatlah mereka. Adakah penjual minyak wangi atau pembuat besi? Mana satu menjadi pilihan. Itulah perumpamaan yang diberikan oleh Nabi kita, junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tips memilih teman mahupun untuk berkawan.
Lihatlah juga, siapa ada tika kita gembira. Siapa pula yang menemani tika kita berduka. Hakikatnya, kita tidak pernah terpisah dari kasih Yang Esa....
Bila Coklat Terlebih, Strawberry Terkurang...
Bismillahhirrahmanirrahim...
Mudah-mudahan semuanya sentiasa menggapai cinta Ilahi. Adakalanya diri ini lemah untuk menyatakan. Tapi itulah hakikat, "berkata benar walaupun pahit." Ada masanya sukar untuk kita berhadapan dengan hakikat. Namun hakikat itu tidak mampu untuk kita nafikan, kerana itu telah tersurat. Percaya dengan penuh keyakinan bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tergerak hati untuk mencetuskan pandangan. Bukan untuk mengajar, tapi sekadar ingin berkongsi apa yang telah dilalui.
BUKAN PSYCHO TAPI MENEGUR
"ahhh... tak penah rasa macam ni," runtun seorang itu.
"jangan menafikan hakikat," tegur si pemuda.
Bersama teman sejatinya menjadi saksi, dia cuba untuk membetulkan keadaan. Agar hamba Allah itu, tidak menzalimi orang lain dan berlaku adil.
"keliru?" si pemuda cuba untuk meneka. Seketika dia mengganggukkan kepala.
"tapi saya tak leh kehilangan dia," cuba untuk menerangkan.
"dan saya juga masih menyayanginya," kembali mempertahankan.
"jadi, siapa pilihannya?" si pemuda cuba untuk mendapatkan jawapan.
"jawapan itu, sudah ada. cuma jangan dibiarkan perasaan keliru itu menafikan hakikat," si pemuda cuba untuk memberi panduan.
"saya hanya mahu mengenalinya, tapi dia yang beriya-iya mahu serius," terang dia lagi.
"sebagai sahabat?" menggelengkan kepala.
"sebagai kawan?" menggelengkan kepala.
"sebagai teman?" menggelengkan kepala.
"ermmm, teman tapi mesra?" si pemuda cuba untuk memberikan istilah yang sesuai. Terus dia menanggukkannya.
"saya tak sampai hati nak mengecewakannya," jelasnya lagi.
"bagaimana seorang wanita buleh menyukai 2 orang lelaki pada masa yang sama?" soalan bermain di benak fikiran si pemuda. Namun dia tidak mahu bertanya lagi. Ada sesuatu yang dia cuba rahsiakan.
"bagaimana pula jika salah seorang dari teman wanita itu, telah mengaku, mesti berkahwin dengan dia, demi untuk menghapus dosa dan bertanggungjawab kepadanya?"
"banyak dosa saya, saya mesti bertanggungjawab dan bernikah dengan dia," kata-kata itu masih terbayang di benak fikiran si pemuda.
semakin membara jiwa pemuda itu ingin bertanya. Tapi masih tersimpan sebagai rahsia. Membiarkan dulu wanita itu memberikan penjelasan. Biarpun penjelasannya itu, adakalanya bercanggah dengan fakta yang lain.
"saya nak tumpukan pada business dulu," akhirnya dia memberi keputusan.
MENGALAH BUKAN BERERTI KALAH
'MENGALAH' bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksana. Adakalanya, kita mampu untuk lakukan, namun adakalnya amat sukar untuk kita capai. Dalam situasi di atas, si wanita amat mementingkan diri sendiri. Tidak mahu mengalah dalam pertarungan dia dengan dirinya sendiri. Tidak mahu kehilangan seorang 'teman tapi mesranya', tapi masa yang sama, masih menyayangi dan mencintai teman hidupnya. Ditambah lagi, ingin menguruskan pernigaannya. Menjadikan dia, begitu tamak dalam mendapatkan apa yang dia ingini.
Hidup ini sememangnya telah ditakdirkan. Kita hanya berusaha. Tuhan yang menentukan. Jangan menafikan hakikat bahawa hati kita masih menyayanginya. Jangan juga menzalimi orang lain, yang menaruh harapan pada kita, sedangkan kita hanya memerlukan dia untuk sementara. Belajar untuk menghargai setiap apa yang telah kita lalui. Hargai juga mereka yang seringkali bersama dengan kita selama ini. Jangan dijadikan masalah yang kecil sebagai alasan untuk menafikan hakikat itu. Tiada masalah yang tiada jalan penyelesaian. Tiada penyakit yang tiada ubat. Kecuali MATI.
SEDAR DIRI, JANGAN MENZALIMI
"saya tahu dia banyak membantu selama ini. Dia amat berbakat," akui wanita itu.
Jika itu hakikatnya, jangan menafikannya. Jangan dicampurkan perkara peribadi dalam urusan pekerjaan. Sehebat mana pun kita, kita hanya HAMBA. Pelakon yang memegang watak di atas pentas dunia. Tidak mampu untuk kita menjalankan dua perkara satu masa. Zalim itu meletakkan sesuatu perkara itu bukan pada tempatnya. Tapi itulah yang kita lakukan. Menyedari hakikat bahawa selama ini dia adalah tulang belakang kita, kini cuba untuk menidakkannya. Badan tanpa tulang belakang, maka lumpuh lah ia.
BELAJARLAH UNTUK MENGASIHANI
Kasihanilah pada mereka yang menjadi mangsa atas kepentingan diri kita. Kasihanilah jua diri kita, yang menuntut agar diperlaku adil. Berikan ia kepada haknya yang sebenar. Hak untuk ditunaikan tanggungjawab bagi mereka yang perlu bertanggungjawab.
Sedih sebenarnya apabila orang yang benar-benar mengharap dirinya dikasihi, dicintai, namun hakikatnya dia hanya melukut di tepi gantang. Semuanya berlaku atas tindakan diri kita yang mementingkan diri sendiri.
BAIKI KELEMAHAN
Fokus dalam melaksanakan sesuatu.utamakan perkara yang lebih penting dari perkara yang penting, kerana perkara yang lebih penting itu, amat penting dari perkara yang penting
Kalau marahkan nyamuk,jangan kelambu yang dibakar.
Berlapang dada menerima akibat, kerana kita yang menjadi punca. Jangan dituding jari pada yang lain, kerana satu jari dituding, empat lagi kepada diri sendiri.
Kembali kepada fitrah kita sebagai manusia. Apa guna agama kalau bukan dijadikan sebagai cara hidup? Apa guna ibu bapa kalau tidak dijadikan tempat rujukan? Apa guna HATI kalau tidak diuruskan...
Sunday, December 26, 2010
THE WOOD RESORT ULU YAM
Kebahagian saya adalah pada kegembiraan orang lain. Sebaik yang mungkin saya cuba untuk memenuhi kehendak dan permintaan mereka. Sekadar memberikan apa yang termampu, sebelum mata tertutup. Rela atau tidak, percayalah kebahagiaan itu akan muncul setelah segalanya terlaksana. Disitulah adanya kerelaan. 






"Bukan wang ringgit yang mereka perlukan, tapi cukup sekadar sedikit masa yang diluangkan bersama..."
Bersyukur pada Mu, Tuhan....
Saturday, December 25, 2010
BUKAN SEDIKIT JERIH DITAGIH...
Assalamualaikum...
Semakin hari kita meniti usia. Sedar tidak sedar hampir 6 bulan ditinggalkan bersawang paparan ini. Bukan kerana tiada lagi minat tapi aturan masa yang tidak mengizinkan. Pelbagai rencana yang terlaksana selama 6 bulan yang berlalu ini. Tidak kurang juga dengan peristiwa yang tidak diduga. Begitu juga dengan mehnah, tribulasi, cabaran dan dugaan dari Dia Yang Maha Kuasa. Kesyukuran yang amat tinggi kepada Dia Rabbul Jalil, mengingatkan siapa kita di atas muka bumi ini. Hanya pelakon yang mencorakkan pementasan dunia menghampiri episod penyudahnya. Cuma cerita akhir cinta ini masih belum menemui jawapannya, apabila Tuhan masih sayang memberikan kita peluang mencari pintu taubat.
May, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan sekarang Disember. Sungguh pantas masa berlalu. Tanpa disedari, tanda-tanda hujung usia dunia semakin jelas kelihatan. Bukan untuk tidak menidakkan usaha mencari tuntutan dunia, tapi sekadar renungan, di manakah pula bekalan kita untuk ke sana?
"Bekerjalah kamu seperti kamu akan hidup seribu tahun lagi. Beribadat lah kamu seperti kamu akan mati esok hari"
Kalau bukan diri kita, siapa lagi yang akan mencari saham untuk akhirat. Tidak pernah dan tidak ada lagi ulama memberikan fatwa mahupun ilmu, yang menyatakan dosa dan pahala itu buleh dipindah-pindahkan. Semakin panjang pula khutbah ini.
Insya Allah, entry akan diupdate dari masa ke semasa. Antara perancangan yang akan diperbaharui, blog ini akan dikemaskini sentiasa, Insya Allah...
Sunday, April 11, 2010
Siapa, Kenapa dan Bagaimana...?

Siapakah yang akan kita cari tatkala kita berada dalam kesedihan?
Siapakah yang akan menenangkan hati kita tatkala kita berada dalam kebimbangan?
Siapakah yang akan kita luahkan segala kedukaan yang bersarang di jiwa kita?
Siapakan yang akan kita harapkan untuk memberi semangat tatkala kita di ambang keresahan?
Siapakah yang akan kita harapkan untuk mambantu kita?
Siapa? Siapa? Siapa?
Sedar tak sedar dah hampir 5 bulan saya menjalan perniagaan sendiri bersama rakan kongsi saya. Selama itu juga pelbagai rintangan dan halangan saya lalui. Biarpun kadang-kadang membuatkan saya patah hati untuk meneruskan perniagaan yang telah saya mulakan.
Hakikatnya perniagaan ini bukanlah milik saya sepenuhnya, berkongsi bersama dua orang sahabat yang telah saya anggap seperti keluarga saya sendiri. Merekalah yang banyak memberikan dorongan dan galakan kepada saya untuk terus dan terus tanpa patah semangat menggerakkan perniagaan ini. Begitulah juga dengan isteri saya yang menjadi tulang belakang saya dalam kehidupan seharian. Keluarga, tidak pernah lekang dari mengambil berat perihal perjalanan perniagaan saya. Dari masa ke semasa mereka bertanyakan tentang projek-projek yang terbaru. Tanpa mama dan abah, pasti saya tidak lahir ke dunia ini. Terima kasih mama, abah..
Langit tak selalu cerah. Adakalanya keadaan yang mencengkam jiwa berlaku juga. Projek yang dirancang dengan begitu teliti akhirnya tidak dapat dilaksanakan. Muhasahabah adakalah kunci kepada penyelesaian masalah. Mencari di mana kelemahan yang perlu diperbaiki. Terutama kerjasama antara rakan kongsi. Konsep kaki kiri dan kaki kanan diamalkan dalam syarikat saya. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan dengan tugas yang tersendiri. Saya menggunakan segala pengalaman yang ada dalam bidang pemasaran untuk memasarkan segala perkhidmatan yang kami sediakan. Tidak ketinggalan dari aspek pentadbiran dan kewangan. Seorang sahabat saya bertindak menggunakan ilmu yang beliau ada untuk menghasilkan rekabentuk-rekabentuk yang bermutu tinggi. Kami juga tidak ketinggalan menggunakan segala kemudahan teknologi moden yang ada untuk mencari pembekal dan juga pelanggan. Namun itu bukanlah cara yang utama. Keluar bertemu empat mata adalah cara yang paling terbaik. Bukan sekadar menggunakan telefon dan internet, kami keluar mencari dan terus mencari pembekal yang terbaik demi menyediakan service yang terunggul kepada pelanggan-pelanggan kami. Tidak dinafikan, kami tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang, mahupun setiap pihak. Akan tetapi itu bukanlah alasan untuk tidak memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan-pelanggan kami.
Adakalanya saya sendiri berada di persimpangan delima dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Nak diluah mati mak, nak ditelan mati bapak. Itulah perumpamaan yang boleh saya katakan.
"Untuk mencapai kejayaan itu umpama mendaki gunung yang tinggi. Banyak rintangan yang perlu dilalui sebelum sempat sampai di puncak,"
Begitulah pesan seorang ustazah kepada saya. Melekat terus di hati. Kata-katanya menjadi penguat semangat kepada saya untuk sabar dalam menempuh mehnah dan tribulasi.
Pelbagai lagi pengajaran yang saya perolehi untuk menjadikan saya seorang peniaga.
Bukan senang untuk menjadi senang, dan bukan susah untuk menjadi susah. Hakikatnya semuanya dengan izin Allah Taala. Bagi kita apa yang perlu di lakukan, D = Doa, U = usaha, I = Ikhtiar dan T = Tawakal. (DUIT)
Tuesday, March 2, 2010
Bagaikan Air...Airkah kita??
Hari-hari berlalu, semakin meningkat umur kita, semakin matang pemikiran kita, bertambah juga peristiwa yang dilalui. Antara suka mahupun duka. Namun dalam kesibukan yang menerjah ruang masa, kadangkala kita alpa, bukan kerana tidak mengerti cuma terdesak dek tuntutan duniawi.
Bagitulah juga dengan diri saya yang serba hina ini. Tidak terkecuali dengan situasi yang mencengkam.
"Dah berapa minggu dah ko tak balik pulau (umah orang tua kat Pulau Indah)," tanya seorang sahabat. Saya hanya mampu mendiamkan diri.
"Kalau umah ko jauh betul, lainlah cerita, ni tak sampai sejam. Kalau dulu ko boleh ulang alik keje dari rumah, kenapa sekarang ni dah tak boleh?" sambung dia lagi.
Tuntutkan keje menjadikan masa amat terhad. Tidak dinafikan, betul semua kata sahabat itu. Namun apalah daya, jika tidak berkemampuan.
"Aku tak nafikan, kadang-kadang aku cemburu dengan orang lain. Ada masa dengan keluarga masing-masing, pergi bercuti, honeymoon. Tapi aku? Aku pujuk hati aku, masanya akan tiba, cuma bila dan bagaimana, Tuhan sahaja yang tahu,"
Mungkin ramai yang tidak merasai apa yang dirasai oleh tubuh yang kerdil ini. Tidak pandai juga untuk menggambarkan, apa yang tercatat dalam minda sekarang ini. Masa yang ada hanyalah untuk mencari apa yang mampu dikerjakan dalam umur yang sesingkat ini. Selagi kederat mampu dikerah. Kelak bila hilang segala tenaga, tidak ada apa lagi yang mampu diharapkan, melainkan menyusahkan orang lain pula untuk menumpang simpati.
Terharu juga dengan sahabat, begitu mengambil berat tentang masa saya. Dia bagaikan air, melekukkan batu, walaupun curahan itu mengambil masa yang begitu lama.
"Bagilah aku peluang berkongsi kepenatan engkau,"
Ayat itu benar-benar menjadikan saya sebak. Kesebakan itu, tidak dapat saya bendung, Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, aliran air mata tidak berhenti membasahi pipi. Begitu dia simpati dengan kepenatan dan kesibukan saya. Walaupun hakikatnya, dia adalah tulang belakang saya. Rosak tulang belakang saya, maka lumpuhlah pergerakan saya. Sepanjang malam saya berfikir, betapa beruntungnya saya dikurniakan seorang sahabat, saudara dan menjadi partner dalam menjalankan perniagaan saya.
Pelbagai nasihat dilontarkan kepada saya, walaupun sebenarnya apa yang diutarakan, telah saya ketahui. Namun apabila terlalu leka dengan tuntutan duniawi, menjadikan saya perlu dikejutkan. Itulah yang dilakukan oleh sahabat saya, mengejutkan saya yang sedang lena.
Ampunkan anakanda, mama dan abah andai kata terabai tanggungjawab sebagai seorang anak. Begitulah juga buat isteri tersayang, jika abang sentiasa terleka.
Moga Tuhan sentiasa melindungi dirinya sekeluarga. Amin...







